Friday, August 10, 2007

Rahsia “besar” Fatah di ambang pembongkaran

Oleh: Maszlee Malik
Di kala media barat sibuk menjaja pergaduhan ataupun pertelingkahan di antara HAMAS dan Fatah, di Gaza lain pula yang berlaku. Semenjak kerajaan HAMAS berjaya mengusir agen-agen AS dan Israel yang berselindung di sebalik pertubuhan Fatah, pelbagai isu menarik timbul di Gaza. Di kala media-media barat sibuk mengatakan Gaza berada di dalam kekecohan, HAMAS mengadakan pemberontakan, dan juga peperangan saudara telah terletus di Gaza, pimpinan Fatah di Gaza telah membuat kejutan. Di dalam keadaan tersebut, mereka muncul menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.

Para pemimpin Fatah di Gaza yang diketuai oleh Husam al-‘Udwan pada 17 Jun 2007 telah menuntut pimpinan tertinggi Fatah untuk memecat Muhammad Dahlan dan konco-konconya dari Fatah. Menurut mereka, beliaulah dalang yang memecah belahkan rakyat Palestin. Mereka menuduh beliau sebagai agen AS dan Israel yang ditugaskan untuk memastikan rakyat Palestin berperang sesama sendiri. Kenyataan akhbar tersebut yang berlangsung di hotel Ramattan, di Gaza itu telah disiarkan secara langsung oleh beberapa badan penyiaran negara-negar Arab termasuk stesyen televisyen al-Jazeera.

Di kala Dahlan mendapat sokongan dari Mahmoud Abbas, para pemimpin senior Fatah yang lain pula giat menentang. Hanya mereka yang dijanjikan kekuasaan dan juga mempunyai agenda yang sama dengan Dahlan sahaja menyokong Mahmoud Abbas mengenai sikap beliau itu. Apa yang menarik mengenai Muhammad Dahlan?

Di antara kesan daripada penguasaan HAMAS ke atas Gaza ialah kejayaan mereka mententeramkan suasana di Gaza. Di kala Tebing Barat kini menyaksikan para anggota pasukan keselamatan di bawah pimpoinan Mahmoud Abbas giat menangkapdan membunuh para aktivis dari fraksi-fraksi perjuangan Palestin yang lain, di Gaza rakyat hidup dengan tenang sahaja. Di para pimpinan Fatah yang dilantik Abbas sedang berebut membahagi-bahagikan habuan dari luar yang sepatutnya disalurkan kepada rakyat, para pentadbir Gaza tidak menghadapi masalah tersebut. Di kala keadaan di Tebing Barat menjadi semakin rumit dan tegang, di Gaza kini rakyat sudah mula dapat meneruskan kehidupan mereka kembali. Mengapa?, semuanya kerana ketiadaan Muhammad Dahlan dan konco-konconya.

Bukanlah sesuatu yang rahsia mengenai kejayaan HAMAS merampas segudang senjata yang dikirimkan oleh AS kepada Muhammad Dahlan dan anggota keselamatannya untuk mengadakan revolusi berdarah di Gaza. Bukan lagi rahsia juga penemuan dokumen-dokumen korupsi para pimpinan fatah semenjak zaman Arafat lagi di pejabat-pejabat kerajaan dan juga pejabat Fatah selain daripada kondom-kondom yang berteraburan dan masih segar selepas digunakan. Bukan lagi rahsia juga penemuan fail-fail rahsia mengandungi segala maklumat konspirasi AS dan Israel yang melibatkan pembunuhan para pemimpin Palestin dan pejuang-pejuang mereka. Bukan lagi rahsia juga, sepertimana yang dilaporkan oleh Wall Street Journal penemuan dokumen-dokumen rahsia yang menunjukkan kerjasama di antara Muhammad Dahlan dengan CIA dan juga Mossad.

Bukan sekadar dokumen-dokumen yang ditemui, malah segala maklumat perisikan dan juga alat-alat perisikan terkini telah berjaya jatuh ke tangan HAMAS. Hal ini amat membimbangkan rumah putih dan juga Tel Aviv. Hal ini telah diperakui oleh Michael Scheuer, mantan pegawai tertinggi jabatan “counterterrorism” pihak CIA yang telah meninggalkan badan perisikan tersebut semenjak tahun 2004. Di dalam sebuah artikel yang ditulis bersama oleh Cam Simpson dan Neil King Jr di Wall street Journal, Scheuer mengaku pernah terlibat membekalkan para anggota Fatah di bawah Dahlan dengan pelbagai maklumat dan latihan mengenai teknologi perisikan yang terkini.

Hal yang sama diakui oleh Efraim Halevy, mantan pegawai tertinggi badan perisikan Israel, Mossad. Beliau mengakui bahawa AS telah melaburkan modal yang banyak untuk pembinaan infrastruktur perisikan tercanggih di kalangan anggota Fatah di bawah Dahlan demi menjayakan agenda mereka di rantau berkenaan. Segala maklumat yang strategik dan penting itu kini berada di tangan “pihak yang tidak sepatutnya”. Hal ini merupakan satu ancaman kepada AS dan Israel. Beliau walau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kekuataan yang dipunyai oleh HAMAS berdasarkan maklumat dan juga infrastruktur perisikan terkini yang telah berjaya mereka perolehi.

Avi Dichter, menteri keselamatan awam Israel dan juga mantan pengarah tertinggi Shin Bet, badan perisikan Israel yang lain pula menyatakan perkara yang sama. Beliau mengakui bahawa kini HAMAS telah menguasai teknologi perisikan “Signit” (Signal Intelligent) yang hanya dimiliki oleh AS dan Israel. Beliau enggan mengulas kekuatan terkini HAMAS untuk menangkis sistem perisikan Israel dengan infrastruktur yang mereka miliki.

Keadaan menjadi bertambah runcing bagi AS, Israel dan Fatah apabila para pegawai Fatah di Gaza telah turut membantu HAMAS untuk menggunakan segala prasarana tersebut. Mereka juga turut membantu HAMAS untuk mengetahui lebih banyak rahsia mengenai konspirasi Fatah-AS dan Israel melalui Dahlan. Berbekalkan kekuatan yang diperolehi oleh HAMAS ini, Ditcher mengatakan bahawa HAMAS kini sudah mengetahui kemampuan teknologi musuh mereka. Perkara ini akan membuatkan mereka berpotensi untuk melawan semula sistem perisikan dan serangan yang dimiliki oleh Israel. Beliau juga mengakui bahwa persenjataan yang dimiliki oleh HAMAS kini merupakan satu “bonus” dan durian runtuh bagi gerakan tersebut. Senjata-senjata yang mereka hanya berjaya memperolehinya melalui penyeludupan yang memakan masa bertahun-tahun kini telah berjaya mereka miliki selama beberapa jam sahaja dari tangan para pejuang Fatah pro-Dahlan.

HAMAS juga telah berjaya menawan tiga pejabat rahsia perisikan yang pernah digunakan oleh Dahlan dan konco-konconya. Ketiga-tiga pejabat “rahsia” tersebut telah beroperasi semenjak Dahlan menjadi menteri keselamatan dalam negeri pada tahun 1996 lagi. Dahlan yang telah dilatih oleh mantan pengarah CIA, George Tenet telah menjadi agen CIA di Palestin untuk tujuan menghancurkan para pejuang Palestin. Beliau juga telah digunakan oleh CIA untuk menjadi sumber perisikan mereka ke atas negara-negara Arab lain di Timur Tengah.

Menurut pemimpin senior HAMAS, Dr Khalil al-Hayya, kini pihak perisikan dan profesional HAMAS sedang meneliti segala maklumat dan dokumen yang mereka perolehi. Menurut beliau, segala maklumat tersebut mempunyai perincian setiap seorang dari kalangan perisik Fatah yang bekerja untuk AS dan Israel, lokasi mereka, dan segala maklumat terperinci mengenai kegiatan perisikan mereka pada masa lalu dan di masa akan datang. Dr Khalil juga mendedahkan betapa para perisik Fatah bukan sahaja menjalankan usaha perisikan di bumi Palestin sahaja, malah mereka juga menjalankan usaha perisikan di negara-negara Arab yang lain untuk kegunaan AS dan Israel. Apabila ditanyakan oleh para wartawan mengenai negara-negara mana yang berada di dalam sistem perisikan Fatah. Beliau hanya manamakan tiga buah negara dahulu, iaitu Mesir, Arab Saudi dan juga UAE.

Dr Khalil juga mendedahkan penemuan fail-fail sulit skandal dan korupsi pemimpin-pemimpin Fatah yang berada di tangan Dahlan suatu waktu dahulu. Fail-fail tersebut telah digunakan oleh Dahlan untuk memastikan mereka semua tunduk dan mengikuti perintahnya agar tidak didedahkan. Keadaan ini menjadikan para pemimpin Fatah kini sudah tidak senang duduk. Pemimpin tertinggi Fatah, dan juga musuh Dahlan di dalam Fatah, Jibril Rjoub juga telah menyokong kenyataan Dr Khalil. Menurut beliau, kegiatan Dahlan dan konco-konconya telah lama diketahui oleh para pimpinan Fatah yang lain. Rjoub menamakan mereka sebagai agen kepada kuasa luar.

Perkara ini walau bagaimanapun disangkal oleh Bruce Reidel, mantan pegawai CIA untuk rantau timur tengah selama 30 tahun dan penasihat kepada presiden Bush dan Clinton. Beliau tidak menafikan bahawa AS memang telah banyak membantu Fatah di dalam bidang perisikan. Beliau juga tidak menafikan betapa pihak perisikan Fatah di bawah Dahlan telah banyak membantu AS untuk mendapatkan maklumat yang penting. Walau bagaimanapun beliau meragui kenyataan Dr Khalil mengenai operasi perisikan Fatah untuk AS di luar Gaza dan Tebing Barat. Beliau menyindir pihak perisikan Fatah dengan mengatakan bahawa mereka selalu ingin membuktikan kemampuan mereka walaupun tidak diminta.

Seperkara yang lebih memeranjatkan ialah keterlibatan Dahlan dan konco-konconya di dalam usaha pembunuhan para pemimpin Palestin seperti Yaser Arafat, Syeikh Ahmad Yasin, Dr Abdul Aziz al-Rantisi dan lain-lain lagi. Lebih menarik, perancangan pembunuhan Dr Khalil sendiri telah berjaya beliau temui di dalam dokumen-dokumen berkenaan. Beliau walau bagaimanapun telah terselamat dari percubaan pembunuhan beliau pada bulan Mei yang lalu. Perkara ini telah membuatkan ramai lagi di antara para anggota Fatah di Gaza kini telah mula hilang kepercayaan terhadap presiden Mahmoud Abbas yang telah mempertahankan Dahlan dan mengikuti arahan AS serta Israel.

Apakah pula sikap Muhammad Dahlan?

Semenjak pembongkaran rahsia besar ini oleh pihak HAMAS, beliau telah meletakkan jawatan di dalam pentadbiran Abbas dan enggan membuat apa-apa kenyataan kepada pihak media.

No comments: