Friday, August 10, 2007

Bacaan ala-Jawa punca qari kita kecundang

MAJLIS Tilawah Kebangsaan adalah idea murni Tunku Abdul Rahman Putra memajukan mutu bacaan dan pengajian al-Quran di tanah air. Sehingga hari ini majlis yang begitu sinonim dengan kemerdekaan negara ini menjadi pengukur mutu bacaan peserta negara untuk mewakili Malaysia ke pertandingan pada peringkat antarabangsa.Tidak dinafikan hasil majlis pertandingan ini, mutu bacaan al-Quran umat Islam di negara ini semakin meningkat, khususnya tahun ini. Kita kagum dengan pertambahan jumlah peserta muda yang berkualiti mewakili negeri masing-masing yang memiliki mutu bacaan yang matang malah, lebih berkualiti daripada peserta berpengalaman.
Sebelum ini negara kita kagum kerana memiliki peserta yang berjaya pada peringkat antarabangsa seperti Ahmad Mat Som Pergau, Hasan Musa, Faridah Mat Saman, Abd Rahim Ahmad, Daud Che Man dan Che Yahya Daud yang setanding dengan peserta Mesir dan Iran.Contohnya, qari terkenal Mesir hari ini, Dr Ahmad Naina secara terbuka mengakui kepintaran Che Yahya Daud mengalunkan bacaan ala Sheikh Mustafa Ismail, qari yang terkenal di Asia Barat suatu ketika dulu.
Beberapa tahun kebelakangan ini Malaysia kecundang pada peringkat antarabangsa kerana pemilihan juara peringkat kebangsaan bercelaru dengan keputusan ‘mengejutkan’.Peserta Malaysia, khususnya peserta lelaki tidak lagi setanding dengan peserta Mesir dan Iran yang memiliki bacaan berlahjah Arab tetapi peserta Malaysia lebih kepada bacaan berlahjah Jawa dengan taranum ala-Melayu yang jauh daripada bacaan muktabar. Tilawah hari ini seolah-olah menggambarkan ada usaha melenyapkan pengaruh bacaan berlahjah Arab yang dibawa oleh johan pertama pada peringkat antarabangsa, Allahyarham Ahmad Mat Som Pergau.Bacaan pengaruh Jawa yang cuba dipopularkan hari ini adalah berpunca daripada lagu Melayu lama, makyong, menora dan nasyid Melayu dari Indonesia seperti diakui bekas qari popular, Ismail Hashim. Senarai hakim perlu dirombak untuk melakukan keadilan kepada peserta yang lebih berpotensi.

No comments: